September 7, 2008

Dua Kegembiraan Untuk Orang Yang Berpuasa!


KEISTIMEWAAN ibadat puasa Ramadan tidak terhitung banyaknya sama ada yang lahir atau dapat dikaji manusia, lebih-lebih lagi yang tersembunyi yang hanya dapat dilihat dan dinikmati di akhirat nanti.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Sudah datang bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka hendaklah kita mengucapkan selamat datang kepadanya. Sudah datang bulan puasa yang membawa segala keberkatan. Maka, hendaklah memuliakan tetamu yang datang itu." - (Riwayat At-Tabrani).

Rasulullah bersabda lagi bermaksud: "Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung pada bulan Ramadan, nescaya mereka mengharapkan Ramadan berlaku sepanjang tahun." - (Riwayat Ibn Abi Dunya). Ramadan juga adalah bulan terpilih kerana pada bulan inilah Allah jadikan satu malam yang sangat tinggi nilainya disebut 'Lailatul Qadar' (malam kemuliaan).

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah turunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu. Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan." - (Al Qadar: 1-3).

Di sebalik kewajipan berpuasa Ramadan, keistimewaan ibadat ini tidak boleh diragui lagi. Jika semua amalan ibadat anak Adam ini adalah untuk dirinya sendiri, tetapi ibadat puasa Ramadan adalah untuk Allah. Ia berbeza dengan ibadat lain kerana mereka yang taat dan ikhlas mengerjakannya, maka Allah sendiri yang membalasnya.

Kelebihan dan keistimewaan puasa Ramadan ini dapat kita fahami daripada sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala Allah, nescaya Allah mengampuni dosa-dosanya yang lalu." - (Riwayat Abu Hurairah).

Sesiapa yang berpuasa dengan taat dan penuh ikhlas, akan dimasukkan ke syurga melalui pintu khas. Ini dapat digambarkan melalui hadis Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya dalam syurga itu ada sebuah pintu yang bernama Royyan. Pada hari kiamat diserukan dari pintu itu. Di mana orang yang berpuasa. Apabila mereka semua masuk, pintu itu pun ditutup kembali." - (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain itu, mereka yang ikhlas berpuasa juga dijamin oleh Allah bahawa akan dijauhkan daripada azab seksa api neraka. Rasulullah sendiri memberi jaminan sebagai mana sebuah hadis bermaksud: "Tiadalah berpuasa seseorang hamba pada satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjauhkan neraka daripada mukanya selama 70 tahun dengan kerana puasa hari itu." -(Riwayat al-Jamaah daripada Abu Said).

Kita juga digalak bersedekah atau banyak melakukan amalan sunat selain yang wajib. Ini kerana Allah melipatgandakan pahala kepada mereka yang beramal. Nilai pahala ibadat sunat pada bulan ini sama dengan nilai pahala ibadat wajib pada bulan lain.

Manakala nilai pahala ibadat wajib bulan ini, sama dengan nilai 70 kali mengerjakan ibadat wajib bulan lain. Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang bertatawuk (mengerjakan sunat) dalam bulan Ramadan dengan sesuatu perkara kebajikan, adalah seperti orang yang menunaikan sesuatu fardu (amalan wajib) pada bulan lain. Dan sesiapa yang menunaikan sesuatu fardu adalah seperti orang yang menunaikan 70 fardu pada bulan lain." - (Riwayat Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farii).

Amalan sunat yang rutin dilakukan sebaik tiba Ramadan ialah solat Tarawih. Setiap malam diberi ganjaran pahala yang berbeza kepada sesiapa yang melakukan solat itu dengan ikhlas. Mereka yang berpuasa pada siang hari dan bersolat Tarawih pada malamnya, dosanya terhapus seperti dia baru dilahirkan.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Bahawasanya Allah mewajibkan berpuasa Ramadan dan aku sudah memberi sunat pada malamnya (solat Tarawih). Sesiapa yang mengharapkan balasan Allah dengan kedua amalan itu, nescaya keluarlah (selamatlah) dia daripada dosa seperti dia dilahirkan oleh ibunya." - (Riwayat Imam Ahmad).

Umat Muhammad juga beruntung kerana ada lima keistimewaan khas dianugerahkan Allah yang tidak diberi kepada umat nabi lain yang berpuasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: "Sudah diberikan kepada umatku bulan Ramadan lima perkara, yang belum pernah diberi kepada nabi sebelumku. Perkara itu ialah:

Pada awal Ramadan, Allah memperhatikan umatku. Sesiapa yang diperhatikan-Nya, dia tidak diazab lagi untuk selama-lamanya. l Bau mulut mereka (yang berpuasa) pada petang hari lebih wangi daripada bau kasturi di sisi Allah. l Malaikat memohon ampun kepada Allah untuk mereka setiap hari dan malam. l Allah memerintahkan syurga-Nya dan berkata kepadanya: "Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hamba-Ku. Mereka akan beristirahat daripada kepayahan dunia menuju negeri-Ku dan kemuliaan-Ku." l Pada akhir malam Ramadan, Allah mengampuni semua dosa mereka. Seorang sahabat lalu bertanya: "Apakah itu malam Qadar." Baginda menjawab: "Tidakkah engkau melihat pekerja yang sedang bekerja. Apabila mereka selesai daripada pekerjaan, nescaya dibayar upah kepada mereka dengan sempurna." - (Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi).

Sementara itu, semua amalan baik sama ada fardu atau sunat yang dikerjakan akan mendapat ganjaran yang sangat besar. Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa menghadiri majlis ilmu agama pada bulan Ramadan, maka Allah mencatatkan setiap langkahnya sebagai ibadat satu tahun dan dia akan bersama-Ku di bawah panji-panji Arasy. Dan sesiapa yang bersolat jemaah pada bulan Ramadan, maka setiap rakaat akan diberi satu bandar yang penuh dengan nikmat Allah. Dan sesiapa yang berbuat baik kepada orang tuanya (ibu bapa) mereka memperoleh perhatian Allah dengan kasih sayang, sedang aku menjaminnya di dalam syurga. Dan seseorang perempuan yang mencari keredaan suaminya, maka baginya balasan pahala sebagai mana pahala Siti Maryam dan Siti Aisyah. Dan sesiapa yang menolong keperluan saudara Muslimin, maka Allah akan menolong 1,000 keperluan pada hari kiamat." - (Riwayat Anas Malik).

Rasulullah bersabda lagi bermaksud: "Sesiapa memberi terang dengan lampu di masjid dalam bulan Ramadan, maka baginya cahaya dalam kuburnya dan dicatat untuknya pahala orang yang bersolat di dalam masjid itu. Manakala malaikat bersama memohon tambahkan kebaikan untuknya, bahkan malaikat pembawa Arasy pun memohon keampunan untuknya selama mana lampu itu ada di dalam masjid." - (Riwayat Abu Hurairah).

Keletihan dan kepayahan yang dirasai seharian berpuasa sehingga sebulan Ramadan dengan ikhlas kerana Allah, akan berakhir dengan dua kegembiraan, iaitu semasa di dunia dan di akhirat nanti.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia berbuka dan kedua, dapat bertemu Allah di akhirat nanti." - (Riwayat At-Tirmizi).

Keistimewaan yang banyak itu patutlah kita rebut dengan memanfaatkan setiap detik dalam bulan Ramadan al-mubarak ini. Orang yang meningkatkan amal ibadatnya dengan ikhlas, pasti dapat merasai nikmat itu sejak di dunia lagi.

PS// ini bukan saye tulis sendiri. tapi saye copy & paste. tapi lupelah ambik kat mane, hehe :D maaf ye! bukan sengaje atau buat-buat lupe :)
haaaa ! gambar yang atas tu , pilih la sameade nak smile atau happy , tau ! haha XP XP

No comments:

Post a Comment