August 21, 2008

Al-Hadis :)


Jangan Pentingkan Diri Sendiri

Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah ia mengasihi kebaikan untuk saudaranya sebagaimana ia mengasihi kebaikan untuk dirinya sendiri.”

(Al-Bukhari, Muslim, Abu ‘Uwanah, an-Nasai, at-Tirmidzi, ad-Darimi, Ibnu Majah, Ath-Thayalisi dan Ahmad)


Huraian:
Manusia yang paling baik hidup di atas muka bumi ini adalah manusia yang selalu berusaha memberikan manfaat dan kebaikan bagi orang lain. Bukankah manusia yang paling mulia adalah manusia yang memiliki keikhlasan dalam memperjuangkan keselamatan diri dan orang lain? Paling tidak kita mendoakan tetangga kita, saudara-saudara kita dan semua manusia untuk kebaikan sebagaimana kita menginginkan kebaikan untuk diri kita sendiri. Atau kita tidak pernah berfikir sama sekali akan perkara ini kerana kita selalu disibukkan dengan urusan masing-masing. Bahkan kita sudah tidak memiliki rasa kasih sayang kepada orang lain sehingga kita selalu memikirkan diri sendiri. Seandainya kita semua bersatu padu dengan membuat satu perkara penting dalam kehidupan untuk saling mengajak kepada kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT dan selalu berdoa dengan kesungguhan maka pasti Allah akan merubah keadaan kita kepada situasi yang lebih baik.

Kerana Kesombongan

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari kesombongan dan tidak akan masuk neraka orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari iman.”
(Muslim dan Ibnu Majah)

Huraian:
Sombong! Memang tidak seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT memiliki sifat sombong di hadapan Allah SWT kerana kita adalah ciptaan-Nya. Sungguh tidak ada apa-apa kehebatan pun pada kita jika hendak dibandingkan dengan kebesaran Allah SWT. Cukuplah seseorang itu dikatakan sombong jika menolak kebenaran dan suka merendahkan orang lain. Cerita tentang kesombongan, takbur, selalu membanggakan diri adalah sebuah kisah yang lebih tua jika dibandingkan dengan permulaan kehidupan manusia di muka bumi ini. Ia berlaku ketika Iblis enggan bersujud pada makhluk bernama Adam disebabkan rasa penciptaan dan statusnya yang lebih baik. Allah melihat tingkah dan sikap Iblis ini dengan firman-Nya: "Hai Iblis, apakah yang menghalang mu untuk bersujud kepada yang telah Ku ciptakan. Apakah kamu menyombongkan diri (takbur) atau kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi?" Iblis terus menjawab: “Ya Allah, aku (memang) lebih baik jika dibandingkan dengan Adam. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan Adam, Engkau ciptakan dari tanah. Mendengar jawapan Iblis yang sombong, Allah berfirman. "Keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir".

Kepentingan Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
Riwayat al-Bazzar


Huraian:
Pengajaran hadis:
i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.


Amanah Itu Berat

Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:”Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.”
(Muslim)

Huraian:
Tanggungjawab jika dilaksanakan secara kolektif dan penuh keikhlasan akan menerbitkan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik. Oleh itu tidak dinafikan bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. bukannya mudah. Akan ada kawan dan lawan. Sebagai rakyat pula, kita tentulah berharap agar setiap pemimpin itu akan sentiasa memberikan yang terbaik, bukan membelakangkan kepentingan rakyat. Demikian juga sebagai pemimpin, tidak sepatutnya mereka mementingkan populariti, menceburkan diri dalam arena politik semata-mata untuk menambah harta dan kekayaan peribadi, menggunakan wang dan menyalahgunakan kedudukan politik untuk menarik sokongan. Kuasa yang ada sebenarnya adalah amanah dan hendaklah digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat Namun apa yang berlaku ialah tidak semua pemimpin mempunyai keikhlasan dalam memikul tanggungjawab mereka bahkan tidak menyedari tentang beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Mereka menjadikan jawatan sebagai batu loncatan untuk menjadi jutawan. Oleh sebab itu janganlah kita merasa hairan apabila ramai yang berani menampilkan diri untuk menjadi pemimpin malah berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin padahal dalam hati mereka sendiri tidak ada keikhlasan. Maka di sinilah pentingnya peranan rakyat dalam memilih bakal pemimpin mereka. Adakah dia benar-benar layak atau sebaliknya kerana jika kita tersilap dalam memilih, padahnya adalah kepada kita sendir sebagai rakyat dan negara juga akan ditimpa mudharat.

Mejauhi Daripada Bisikan Syaitan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata:”Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”
Riwayat Bukhari Dan Muslim

Huraian:
1.Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.
2.Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya.
3.Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka.
4.Fitnah syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya. Oleh itu sebagai pendindingnya kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong kepada perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat.

No comments:

Post a Comment